Isnin, 25 Ogos 2014

Al Baqarah - Ayat 238



حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

TAFSIR NURUL IHSAN

Sembahyang wusto….
حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْطَى
Pelihara oleh kamu atas sembahyang lima waktu dan sembahyang wusto yaitu ‘asar atau subuh, beberapa aqwal disebut akan dia kerana kelebihannya
وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ
Dan berdiri oleh kamu bagi Allah akan sembahyang itu hal keadaan kamu taat sekelian baginya tiada bagi lainnya.

Tambahan (bukan dari Tafsir Nurul Ihsan)

Rasulullah sollahu alaihi wasallam bersabda :
صلُّوا كَما رأَيتُموني أُصلي
Sembahyanglah kamu (caranya) seperti kamu lihat aku sembahyang.

PERTAMA : DENGAN MAKSUD SOLAT ASAR

Firman Allah: khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar). Adapun solat wusta maka mengikut pendapat yang rajih yang dipilih dari pelbagai riwayat ialah solat asar kerana Rasulullah s.a.w bersabda pada hari peperangan al-Ahzab: Mereka telah menghalangi kita daripada solat wusta, iaitu solat Asar. Allah penuhkan hati dan rumah mereka dengan api neraka! (riwayat Muslim)
Sayid Qutub berkata: Dalam ayat ini diperintahkan supaya dipeliharakan semua solat, iaitu mendirikannya di dalam waktu-waktunya masing-masing dan menyempurnakan segala rukun dan segala syaratnya.
Ibn al-Arabi mengemukakan tiga andaian:- Ia diambil daripada perkataan al-wasat yang bermaksud saksama, terbaik dan mempunyai kelebihan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً
Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai Muhammad) satu umat pilihan lagi adil.

KEDUA : DENGAN MAKSUD SOLAT SUBUH

Ibn al-Qasim berkata, Malik berkata: Solat subuh ialah solat wusta kerana solat zuhur dan asar pada waktu siang dan solat maghrib dan isyak pada waktu malam, sedangkan subuh berada antaranya dan ia solat yang paling sikit kadarnya.
Solat zuhur dan asar boleh dijamakkan, begitu juga maghrib dan isyak boleh dijamakkan sedangkan solat subuh tidak boleh dijamakkan dengan mana-mana solat pun. Ia juga solat yang ramai orang terluput kerana tertidur.
Pandangan yang sama disebut oleh Zaid bin Aslam. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa solat subuh ialah solat wusta kerana dikerjakan antara kegelapan malam dan kecerahan siang. Di samping itu kerap kali manusia terluput mengerjakannya. Ibn Abbas juga berkata: Setelah membaca qunut dalam solat subuh, inilah solat wusta.