Rabu, 25 Jun 2014

Al Baqarah - Ayatt 226



لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَآئِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ فَإِنْ فَآؤُوا فَإِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

TAFSIR NURUL IHSAN
لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَآئِهِمْ
Bagi segala mereka yang bersumpah iaitu bersumpah tiada jima’ isteri mereka itu empat bulan atau lebih maka makna ila’ bersumpah lelaki tiada jima’ isterinya masa itu
تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ
Berhenti empat bulan hukum mahu menanti empat bulan manakala cukup Qodi suruh jima’ atau cerai.
فَإِنْ فَآؤُوا فَإِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maka jika kembali wati mereka itu dengan sendiri dalam empat bulan atau kemudiannya maka bahasanya Allah Ta’ala Tuhan yang Amat mengampuni daripada dosa memberi mudhorat perempuan dengan sumpah itu lagi amat Rahim dengannya tetapi kena kaffarah sumpah.

SEBAB AYAT INI DITURUNKAN

Ia diturunkan kerana pada zaman jahiliyyah dahulu, jika seseorang itu meminta sesuatu kepada isterinya sedang isterinya enggan pada memberikannya, maka diancamnya dengan bersumpah kepadanya tidak mahu menyetubuhinya selama setahun atau dua, sehingga menyebabkan ia terbiar dan teraniaya, seolah-olahnya tidak bersuami. 

Setelah Islam datang keadaan ini dapat diselesaikan dengan adanya hukuman yang terkandung dalam ayat ini, iaitu orang yang telah bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya, jika isterinya menuntut kepada hakim, sisuami akan diberi masa menunggu empat bulan. Bila habis tempoh itu aia tidak kembali (tidak membatalkan sumpahnya) yang diiringi kemudiannya dengan membayar kaffarah, maka hakim akan menuntu supaya menceraikan isterinya itu. Jika suami enggan, hakim berhak memberikan talak maka tercerailah isterinya.

Sekiranya suami kembali kepada isterinya dengan menyetubuhinya, maka wajiblah membayar Kaffarah al Yamin, dengan cara memilih antara tiga berikut :

(1) Memedekakan seorang hamba yang mukmin ;
(2) Memberi makan sepuluh orang miskin, banyaknya tiap-tiap seorang satu mud.
(Berdasarkan Pendapat Jumhur satu mud dalam gram lebih kurang 544 gram (dari satu sepertiga dikali 408) dan satu sha' kurang lebih adalah 2176 gram (dari 544 dikali 4) atau 2,176 kilogram.
1 litre = 1.000028 cubic decimetres , iaitu kira2 1.76 pints.)
(3) Memberi persalinan kepada mereka, sekiranya tidak dapat mengadakan salah satu dari tiga perkara ini, hendaklah ia berpuasa selama 3 hari.