أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُواْ مِن
دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللّهُ مُوتُواْ
ثُمَّ أَحْيَاهُمْ إِنَّ اللّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَ
النَّاسِ لاَ يَشْكُرُونَ
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang
orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan
mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada
mereka:" Matilah kamu " kemudian Allah menghidupkan mereka.
Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia
(seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
TAFSIR
NURUL IHSAN
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُواْ مِن
دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ
(Kisah Lari Taun) tiadakah engkau lihat wahai
Muhammad kepada khabaran segala mereka orang Yahudi keluar mereka itu daripada
kampong mereka itu dawardan dan mereka itu beberapa ribu empat ribu atau lapan
ribu atau sepuloh ribu atau tiga puloh ribu atau empat puloh ribu atau tujuh
puloh ribu
حَذَرَ الْمَوْتِ
Kerana takut mati dan mereka itu satu kaum dari Bani
Israel masuk taun dalam negeri mereka itu maka lari mereka itu keluar
فَقَالَ لَهُمُ اللّهُ
Maka firman Allah Ta’ala bagi mereka itu
مُوتُواْ
Mati oleh kamu maka mati mereka itu
ثُمَّ أَحْيَاهُمْ
Kemudian menghidup Ia akan mereka itu kemudian
daripada lapan hari mati atau lebih dan kemudian daripada bercerai tulang kulit
dengan doa nabi mereka itu Hazqil Khalifah Nabi Musa yang ketiga pertama Yusya’
bin Nun kemudian Kalib bin Yufana maka hidup mereka itu beberapa lama masa atas
mereka itu bekas mati tiada bagi mereka itu akan kain melainkan kembali jadi
seperti kafan dan berkekalan pada anak cucu mereka itu
إِنَّ اللّهَ لَذُو فَضْلٍ
عَلَى النَّاسِ
Bahawasanya Allah Ta’ala itu mempunyai kurnia ni’mat
atas manusia setengah menghidup mereka itu
وَلَـكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ
لاَ يَشْكُرُونَ
Dan tetapi bermula kebanyakan manusia kafir itu
tiada syukur mereka itu dan maksud khabaran mereka itu memberani sekelian mu’minin
atas perang kafir.
Penjelasan Dr Zulkifli Al Bakri
Firman Allah s.w.t: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang
ke luar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu
(jumlahnya) Kerana takut mati; Maka Allah berfirman kepada mereka:
Matilah kamu, Kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya
Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak
bersyukur. (al-Baqarah: 243)
Syeikh Syarawi berkata: Selepas Allah menceritakan berkenaan dengan
keluarga Muslim dalam merawat episod perpisahan perkahwinan sama ada
dengan sebab cerai atau kematian, lantas Allah menghendaki bagi umat
Islam mengetahui bahawa tiada seseorang pun yang mampu lari daripada
takdir kekuasaan Allah.
Umat Islam merupakan umat yang diamanahkan membawa risalah dan manhaj
langit ke bumi hingga kiamat. Justeru tiadalah Nabi selepas Muhammad
s.a.w dan nabi dibangkitkan. Semestinya bagi umat ini mentarbiah dengan
tarbiah yang baik mengikut kesesuaian tanggungjawabnya yang Allah
taklifkannya.
Ini bermaksud hendaklah ia mengambil pelbagai pengajaran yang Allah
nyatakan kepada umat zaman dahulu untuk mengikuti perjalanan sunnatullah
bukan hanya semata-mata teori yang dibaca tetapi realiti yang
dipelajari dalam kemelut masyarakat.
Firman Allah: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang ke
luar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya)
Kerana takut mati; Maka Allah berfirman kepada mereka.
Ibnu al-Arabi berkata, terdapat dua pandangan berkaitan turunnya ayat ini:
* Apabila Bani Israel ditimpa wabak taun dan ramai dalam kalangan
mereka yang mati, mereka pun keluar untuk mengelakkan kematian. Lalu
Allah mematikan mereka dalam satu tempoh sebagai hukuman terhadap
mereka. Kemudian Allah hidupkan mereka semula untuk menunjukkan
kekuasaan-Nya.
* Ini menunjukkan kematian yang dilakukan oleh Allah s.w.t dengan
tujuan hukuman disusuli dengan hidup semula selepasnya, tetapi kematian
yang berbentuk sampai ajal tidak akan hidup semula selepasnya (iaitu
hidup di dunia).